Mangsa, Raja Zaharina Raja Azhar Shah, 45, berkata, kehidupannya menjadi cukup sukar sehingga bekalan elektrik di rumah terpaksa dipotong gara-gara tidak dapat membayar bil elektrik sejak enam bulan lalu.
“Selepas diisytiharkan bankrap dua tahun lalu, saya terpaksa menanggung hutang hampir RM300,000 yang dibuat bekas suami melalui syarikat milik kami, tetapi menggunakan nama saya ketika kami masih bergelar suami isteri.
“Tetapi saya bersyukur kerana selepas naik turun mahkamah dan atas budi bicara Jabatan Insolvensi, saya hanya perlu membayar RM30 setiap bulan untuk mengelak tindakan lebih berat,” katanya.
Namun, apa yang mengecewakan Raja Zaharina ialah sikap tidak acuh serta lepas tangan bekas suaminya itu dalam memberikan nafkah kepada lapan anak mereka serta perjanjian membayar bil elektrik dan air rumah diduduki mereka dekat sini.
Menurutnya, segala-galanya bermula pada 2006 selepas bekas suaminya yang juga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), bersara daripada perkhidmatan.
Ketika itu, sikap bekas suaminya berubah dan pelbagai masalah mula timbul sehingga bekas suami langsung tidak boleh berbincang apabila setiap perbincangan berakhir dengan pertengkaran sehingga pasangan ini bercerai pada 9 Ogos 2007.
Wanita yang berasal dari Parit Buntar, Perak itu berkata, biasanya dia atau anak-anak menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada bekas suami untuk meminta wang perbelanjaan.
Menurutnya, sejak diisytiharkan bankrap, dia terpaksa melakukan pelbagai jenis pekerjaan seperti pembantu tukang masak, menolong rakan berniaga di pasar malam dan apa saja kerja halal demi memastikan mempunyai wang setiap hari untuk menanggung perbelanjaan harian.
“Bagi saya, perkara paling penting adalah memastikan anak-anak yang masih bersekolah dengan seorang daripadanya menuntut di sebuah kolej mempunyai duit belanja” katanya.
Raja Zaharina berkata, dia lapan beranak hampir merayakan Aidilfitri lalu dalam keadaan bergelap selepas bekalan elektrik rumah mereka dipotong oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Katanya, dia terkejut kerana mengikut perjanjian bil air dan elektrik rumahnya dibayar bekas suami selain nafkah anak sebanyak RM200 setiap seorang.
“Sudahlah nafkah anak sering tertunggak dan tertangguh, selepas bekalan elektrik dipotong, baru saya mendapat tahu bekas suami langsung tidak membayar bil elektrik sejak awal tahun ini.
“Ketika itu hanya seminggu saja lagi menjelang Aidilfitri menyebabkan saya tiada pilihan selain mengadu mengenainya kepada Menteri Besar Perak,” katanya. Simpati dengan nasib menimpa ibu tunggal ini, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sendiri campur tangan dan menyelesaikan tunggakan bil elektrik bagi membolehkan penyambungan semula dilakukan.
Oleh Kasdi Ali
am@hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment