Wednesday 21 December 2011

DAH LA SUSAH, JADI LAGI SUSAH

 21 DIS 11

Saya ingin membuat laporan tentang MDi yg telah mengenakan bayaran yg tinggi untuk pembayaran balik kes kebankrapan sy. Saya telah ditutut oleh mahkamah supaya membayar balik hutang termasuk kos guaman pihak pemiutang sebanyak RM73,150.72 kepada pemiutang kerana telah melanggar kontrak dengan pihak pemiutang.

Saya telah merujuk kepada jabatan insolvensi pulau pinang dan diberitahu oleh pengarah Insolvensi pulau pinang jumlah yg perlu saya bayar kepada insolvensi ialah lebih kurang sebanyak RM82,600 iaitu termasuk bayaran fees pengarah.

Sy memohon bantuan PPIM dan jabatan yang berkaitan supaya dapat membantu saya dalam mengurangkan jumlah bayaran yg dikenakan oleh jabatan insolvensi. Ini adalah kerana sy telah berusaha untuk berjimat cermat dan mengurangkan sumbangan kepada keluarga sy semata-mata untuk menyelesaikan hutang saya. Jikalau saya mempunyai wang yang banyak, sudah tentu saya tidak akan dikenakan bankrupt.

Pihak Insolvensi sepatutnya mengambil kira kemampuan orang yang bankrupt bukannya menambahkan bebanan hutang. Saya betul-betul rasa kecewa dengan jumlah fees yg dikenakan oleh jabatan insolvensi yg betul-betul membebankan dan sedikitpun tidak memikirkan kesusahan sy sebagai muflis. Saya betul-betul tertekan dan tidak tahu pada siapa harus saya meminta bantuan.

Sepatutnya jabatan insolvensi membantu orang yang muflis dengan mengurangkan bebanan tetapi pada pandangan saya, jabatan insolvensi lebih mengutamakan pihak pemiutang berbanding orang yang telah muflis yang sudah tentu dalam kesusahan.

Contohi Negara Maju Beri Peluang, Pelepasan Kepada Golongan Muflis


20 Disember, 2011 17:47 PM
Kerajaan Diminta Contohi Negara Maju Beri Peluang, Pelepasan Kepada Golongan Muflis
KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Kerajaan perlu mencontohi negara maju yang memberi peluang dan pelepasan dengan syarat tertentu kepada golongan muflis untuk membina kehidupan baru, kata Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Tunku Azwil Tunku Abd Razak.

Beliau berkata sehubungan itu, kerajaan perlu mengkaji semula Akta Kebankrapan 1967 agar selari dengan keadaan semasa bagi mengelakkan golongan muflis terutama usahawan bumiputera berdepan masalah menguruskan perniagaan mereka.

"Mereka yang bankrap ini tidak mempunyai pekerjaan, tidak mempunyai sumber kewangan, malahan perlu membayar sejumlah wang kepada bank, dan jika gagal berbuat demikian, mereka akan dipenjarakan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tunku Azwil berkata kajian semula akta itu perlu dilakukan segera kerana ia bersifat menekan selain mendatangkan kesusahan kepada usahawan yang ingin memajukan perniagaan.

Sehingga hari ini, katanya, PPIM menerima kira-kira 80 aduan mengenai isu kebankrapan di kalangan usahawan bumiputera dengan pihak bank serta Jabatan Insolvensi Malaysia.

Sementara itu, Setiausaha Kerja PPIM Datuk Nadzim Johan menggesa Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Bank) lebih prihatin dan profesional dalam membantu usahawan bumiputera untuk berjaya selaras dengan agenda kerajaan.

Beliau berkata PPIM menerima banyak aduan daripada usahawan bumiputera yang berdepan masalah ketika memohon bantuan kewangan untuk memulakan serta mengembangkan perniagaan.

"Perkara utama ialah proses untuk SME Bank meluluskan permohonan pinjaman kewangan kepada mereka yang memakan masa bertahun-tahun. Mereka sudahlah tidak mempunyai modal cukup untuk berniaga, dan apabila berurusan dengan pihak SME Bank, terlalu banyak kerenah dalaman yang perlu dipenuhi," katanya.

Nadzim berkata PPIM juga menggesa kerajaan agar lebih tegas dan mengekang kemasukan warga asing, terutama dari negara tertentu di Afrika, yang dilihat mendatangkan banyak implikasi negatif dan gejala sosial.

"Mereka ini datang kononnya menggunakan pas pelajar, namun dalam masa yang sama, terlibat dengan sindiket penipuan termasuk memerangkap gadis-gadis tempatan untuk dijadikan mangsa," katanya.

-- BERNAMA