Muflis Guide

Definisi @ maksud bankrap atau muflis

Seseorang yang gagal :

a. menjelaskan pinjaman orang perseorangan
b. sewa beli kenderaan
c. pinjaman peribadi atau perumahan
d. menjadi penjamin sosial
e. Kakitangan Kerajaan Kumpulan A yang menjadi penjamin tetapi sipeminjam gagal
membayar hutang
f. pinjaman pelajaran
g. Hutang Kad Kredit
h. Hutang Cukai Pendapatan


Dengan jumlah hutang tidak kurang daripada RM30,000.00


Rumusannya :
Kebankrapan adalah satu proses di mana seorang penghutang itu diisytiharkan sebagai bankrap lanjutan daripada suatu Perintah Penghukuman yang dibuat di Mahkamah Tinggi terhadap penghutang tersebut atas kegagalan atau ketidakupayaan untuk membayar hutang sekurang-kurangnya RM30,000.00.

Apabila berlaku kegagalan pembayaran balik hutang ,pemiutang akan memfailkan petisyen kepada mahkamah dengan syarat hutang tidak kurang daripada RM30,000 kerana jika di bawah nilai itu kes berkenaan tidak boleh diisytiharkan bankrap.

DRAF 2003

Draf pindaan Akta Kebankrapan 1967 yang antara lain bagi
melindungi penjamin pinjaman akan dibentangkan di Kabinet dalam tempoh
terdekat dan dibawa pada sidang Parlimen sesi Mac ini.
Pindaan membabitkan definisi penjamin dibahagikan kepada dua, iaitu
penjamin sosial seperti mendapatkan biasiswa, perumahan serta berkaitan
keluarga dan penjamin korporat bagi pelbagai kegiatan perniagaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata
perlindungan hanya diberikan kepada penjamin sosial, manakala penjamin
korporat dikenakan tindakan seperti peruntukan sedia ada.
"Ia dipinda untuk memberi perlindungan dan keadilan terhadap penjamin
sosial yang selama ini terpaksa menanggung beban sehingga dikenakan
tindakan muflis berikutan kegagalan peminjam melunaskan hutang.

"Peminjam yang sebenarnya harus dikejar dulu oleh bank atau institusi
berkenaan. Apabila peminjam tidak dapat dikesan dan tidak boleh dihubungi
baru pergi penjamin sosial tadi. Peruntukan ini tidak dicadang untuk
penjamin korporat sebab kita ingin melihat dulu perubahan ini.

"Sekurang-kurangnya kita dapat memberi satu landasan keadilan kepada
penjamin yang sebenarnya dikejar dulu daripada peminjam," katanya selepas
majlis makan tengah hari anjuran Gabungan Dewan Perniagaan Melayu, Cina
dan India Negeri Sembilan, semalam.

Dr Rais berkata, pindaan dibuat hasil kajian mendalam dan mendapat
pandangan pelbagai pihak, terutama badan perundangan.
Beliau berkata, Seksyen 33 (a) (b) memberi kelonggaran kepada penjamin
sosial yang selepas lima tahun boleh dilepaskan daripada tindakan muflis
tanpa menunggu keputusan Pegawai Pemegang Harta.
Akta turut mencadangkan kadar seseorang boleh dikenakan tindakan muflis
dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM30,000, bersesuaian kuasa beli dan
ekonomi semasa.

Pindaan turut membenarkan seseorang yang diisytihar muflis menyimpan
RM1,000, berbanding hanya RM100 sekarang.
Berhubung cadangan Dewan Perniagaan Melayu Negeri Sembilan yang meminta
pelaksanaan Chapter 11 Amerika Syarikat digunakan di negara ini, Dr Rais
berkata perkara ini boleh diberi pertimbangan untuk menyelamatkan usahawan
yang boleh dikenakan tindakan muflis.

Mengikut Chapter 11, usahawan diberikan tempoh tertentu untuk
membolehkan mereka menyusun semula perniagaan ketika zaman gawat dan pada
masa sama bank tidak mengenakan tindakan jika gagal melunaskan hutang.
Dr Rais juga berkata, bagi seseorang yang hendak diisytiharkan muflis
mengikut Seksyen 33 akta, mereka perlu diberi peluang memulihkan
ekonominya terlebih dulu sebelum tindakan dikenakan.
Pindaan turut membabitkan keadaan muflis sebagai suatu perkara yang
tidak berupa stigma dengan memperkenalkan kaedah dan pengertian dalam
keadaan harmoni.

"Mereka sebenarnya harus mendapat bimbingan daripada jabatan, hubungan
kedua-dua pihak harus mesra dan muflis tidak harus jadi bebanan sosial,"
katanya.



Muflis: Jalan Terakhir Penyelesaian Hutang?

Mengisytiharkan diri sebagai muflis bermakna membebaskan diri anda daripada tanggungjawab membayar hutang dan membenarkan anda memulakan kehidupan baru. Bagaimanapun, jika anda memilih untuk menjadi muflis, anda perlu patuh kepada peraturan yang ditetapkan dan anda juga perlu menjual segala harta benda untuk melangsaikan hutang. Walaupun kelihatan mudah, muflis sepatutnya menjadi jalan penyelesaian terakhir dan seharusnya difikirkan dengan mendalam kerana kesannya amat buruk. Iaitu, anda terpaksa menutup perniagaan, menjual segala harta bernilai, menghadapi kesukaran memohon kredit dan yang paling buruk, ia merosakkan status anda di mata masyarakat. Sebagai tambahan, anda juga terpaksa menghadapi halangan-halangan berikut:

Halangan seorang muflis

  • Anda tidak boleh memegang jawatan tertentu dalam perkhidmatan awam.
  • Seorang pegawai pemegang harta akan dikhaskan untuk mengawasi harta benda dan memantau tindak tanduk anda dalam menyelenggarakan harta untuk melangsaikan hutang.
  • Adalah menjadi satu kesalahan jika anda memohon kredit secara berseorangan ataupun bersama individu lain.
  • Sebarang kenaikan pangkat atau pelantikan ke pengurusan syarikat harus mendapat kebenaran daripada Pegawai Pemegang Harta.
  • Perjalanan anda mungkin dihadkan dan pasport anda juga mungkin ditahan. Tetapi, anda boleh memohon pasport dengan mendapat kebenaran daripada Pegawai Pemegang Harta.
  • Anda hanya boleh membuka akaun bank dengan kebenaran daripada Pegawai Pemegang Harta dan akaun berkenaan hanya boleh digunakan untuk tujuan kemasukan gaji.
  • Mahkamah berhak mengarahkan anda menyerahkan lebihan pendapatan kepada Pegawai Pemegang Harta jika jumlahnya melebihi keperluan
Melihatkan kepada peraturan-peraturan yang dikenakan, mengisytiharkan diri sebagai muflis bukanlah suatu langkah yang bijak. Namun begitu, jika tiada jalan lain, maka muflis adalah jawapan kepada bebanan hutang anda. Tetapi harus diingat! Anda berpeluang membebaskan diri daripada gelaran muflis jika anda mematuhi perkara-perkara berikut:

Bagaimana melepaskan diri daripada muflis?

Jika anda sudah membayar semua hutang yang ada, maka anda boleh memohon untuk membatalkan “Receiving and Adjudication Order” untuk membebaskan diri anda daripada muflis. Bagaimanapun, Akta Muflis 1967 sudah dirombak untuk memberi kelonggaran kepada individu menikmati peluang memulakan kehidupan baru. Antara yang berpeluang untuk menikmati pelepasan berkenaan adalah mereka yang muflis kerana menjamin pinjaman, si muflis yang menderita sakit, lanjut usia dan tidak mempunyai pekerjaan.

Pegawai Pemegang Harta, bagaimanapun, akan menilai kelayakan anda untuk mendapatkan pelepasan itu. Antara perkara yang akan dipertimbangkan ialah tingkah laku anda sebelum dan selepas diisytiharkan muflis, sebab anda diisytiharkan muflis, kedudukan kewangan anda dan kemampuan anda membayar hutang. Sebagai contoh, jika anda membuat bayaran berterusan setiap bulan kepada Pegawai Pemegang Harta dan memberikan kerjasama sebaiknya sepanjang tempoh muflis, maka anda boleh memohon kepada Pegawai Pemegang Harta untuk mendapatkan pelepasan berkenaan. Pelepasan hanya sah selepas anda menerima “Sijil Pelepasan Pegawai Pemegang Harta”. Bagaimanapun, pelepasan hanya boleh dimohon lima tahun dari tarikh anda diisytiharkan muflis.

Adakah anda muflis?

Untuk mengetahui sama ada seseorang individu sudah diisytiharkan muflis, anda boleh berkunjung ke Jabatan Pemegang Harta bagi mendapatkan borang pencarian yang berharga RM 1. Selepas itu, borang berkenaan akan diserahkan kepada ibu pejabat di Kuala Lumpur di mana pencarian maklumat akan dilakukan. Keputusan pencarian kemudiannya akan dikirim ke alamat yang anda berikan di dalam borang. Segala maklumat boleh didapati hanya dengan bayaran RM 5.

Mempertimbangkan segala halangan yang perlu dilalui dan tempoh masa yang panjang, anda seharusnya menilai sewajarnya keputusan untuk mengisytiharkan diri sebagai muflis. Ia mungkin melepaskan anda daripada bebanan hutang, namun kebebasan anda sebagai individu juga akan terhalang. Untuk mengelakkan diri daripada diisytiharkan muflis, anda bertanggungjawab mengawal kedudukan kewangan dan memantau setiap perbelanjaan yang dilakukan.