Friday 28 October 2011

Pengarah Kalah lawan Vinod

2011/03/02

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi hari ini gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan satu perintah komital supaya ahli perniagaan terkemuka, Datuk Vinod Balachandra Sekhar dipenjarakan kerana menghina mahkamah apabila beliau gagal mematuhi peruntukan mengikut Akta Kebankrapan 1967.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Rozianti Mohamed Hanaphi, membuat keputusan itu selepas bertemu peguam Joseph Mathews yang mewakili Vinod dan Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Muttaqim Rabbani Abdullah, yang mewakili Jabatan Insolvensi di dalam kamarnya.
Hari ini ditetapkan bagi keputusan kes berkenaan.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Joseph berkata mahkamah telah menolak permohonan Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi.

Bagaimanapun asas penghakiman akan diberi tidak lama lagi.

Joseph berkata, anak guamnya menegaskan bahawa dua dokumen berhubung kebankrapan iaitu perintah penghukuman dan perintah penerimaan, tidak pernah diserahkan kepadanya (Vinod).

Beliau berkata, dokumen itu juga menunjukkan bahawa tandatangan pada kedua-dua dokumen itu adalah palsu.
Katanya, dokumen perintah penghukuman dan perintah penerimaan tidak pernah diserahkan kepada Vinod seperti yang didakwa oleh pegawai Jabatan Insolvensi dalam afidavit bahawa kedua-dua dokumen itu telah pun diserahkan kepada Vinod pada 14 Mei 2008.

"Bagaimanapun, kami telah membuktikan di mahkamah ini bahawa dokumen terbabit tidak diserahkan kepada Vinod dan tandatangan penerima pada kedua-dua dokumen adalah palsu," katanya.

Pada 13 Ogos tahun lalu, Ketua Pengarah jabatan itu memohon perintah komital terhadap Vinod kerana menghina mahkamah apabila beliau gagal mematuhi peruntukan mengikut Seksyen 38(2) Akta Kebankrapan 1967.

Berdasarkan permohonan itu, Vinod yang diisytiharkan seorang muflis oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Jun 2005, melakukan dua kesalahan apabila beliau menjadi pengarah 25 buah syarikat dan ke luar negara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi, mengikut Seksyen 38 Akta Kebankrapan.

Vinod diisytiharkan seorang muflis kerana gagal melangsaikan hutangnya kepada syarikat credit, Orix Credit Malaysia Sdn Bhd dan 11 lagi syarikat berjumlah RM12.376 juta.

Vinod, 43, pernah dinamakan oleh Forbes Magazine sebagai lelaki ke-16 terkaya di Malaysia pada 2008 dengan aset yang dianggarkan bernilai AS$320 juta (kira-kira RM1 bilion). - BERNAMA

1 comment:

  1. terlepas untuk pertama kali...lepas ni dah tak boleh guna alasan ni dah kot

    ReplyDelete