Friday 28 October 2011

Pengarah syarikat didakwa kerana kesalahan mengikut Akta Syarikat

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Baharu membabitkan dua kesalahan mengikut Akta Syarikat 1965, kata Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu menyebut Baharudin Jaaffar didakwa semalam mengikut Seksyen 125 (1) akta berkenaan kerana bertindak sebagai pengarah Asofat (M) Sdn Bhd antara 16 Disember dan 24 Disember, 2008 ketika masih seorang yang diisytiharkan muflis.

Tuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara bagi tempoh tidak melebihi lima tahun atau denda maksimum RM100,000, atau kedua-duanya sekali.
Baharudin turut didakwa mengikut Seksyen 364(2) akta berkenaan kerana mengisi dan mengemukakan pengisytiharan palsu dalam Borang 48A.

"Dia membuat pengisytiharan palsu bahawa dia bukanlah seorang yang muflis meskipun hakikatnya bahawa pada masa itu dia adalah seorang yang telah pun diisytiharkan muflis," menurut kenyataan itu.

Tuduhan itu membawa hukuman maksimum penjara sehingga 10 tahun atau denda RM250,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Baharudin mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua tuduhan itu.

Hakim Mahkamah Sesyen Rofiah Mohamad membebaskan tertuduh dengan jaminan RM5,000 dan seorang penjamin.
Kes itu ditetapkan untuk sebutan pada 9 Januari depan.-Bernama

No comments:

Post a Comment