Friday 28 October 2011

CTOS diarah bayar RM200,000

Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, memerintahkan Credit Tip Off Services Sdn Bhd (CTOS) membayar ganti rugi RM200,000 kepada seorang bekas eksekutif kanan Petronas kerana memberi maklumat kredit yang tidak tepat kepada dua bank sehingga menyebabkan plaintif mengalami kerugian dan difitnah.
Hakim Siti Khadijah S Hassan Badjenid mengarahkan syarikat itu membayar ganti rugi tersebut dengan faedah sebanyak lapan peratus mulai hari ini (semalam) sehingga penyelesaian seluruh jumlah penghakiman kepada Shafie Abdul Rahman, 55 (plaintif).

Shafie memfailkan saman itu pada 2006 selepas CTOS menyalurkan maklumat rujukan kredit kepada Affin Bank Bhd dan Bumiputera Commerce Bhd bahawa Shafie adalah seorang muflis.
Berikutan maklumat itu, Shafie gagal mendapatkan pinjaman untuk membeli sebuah apartmen walaupun beberapa kali menegaskan dia bukan muflis seperti yang dinyatakan. Katanya, isu muflis itu timbul apabila RHB Bank secara tidak sengaja memohon perintah bankrap terhadapnya dan akibat daripada itu notis dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu serta disiarkan dalam akhbar pada 17 Januari 2003.

Bagaimanapun selepas menyedari kesilapannya, bank itu segera memohon maaf kepadanya dan menarik balik perintah bankrap itu.

Menurut Shafie dia tidak pernah diisytiharkan muflis tetapi CTOS mengutip maklumat daripada notis bankrap awal yang memberi gambaran seolah-olah dia tidak layak menjadi peminjam.

Sementara itu, dalam pembelaannya, CTOS berkata maklumat yang dibekalkan oleh syarikat itu kepada pelanggannya, yang kebanyakannya institusi kewangan, hanya sebagai bahan rujukan.

CTOS berkata pelanggan mereka dinasihatkan supaya menyemak maklumat itu dengan pihak berkuasa yang berkaitan.

No comments:

Post a Comment