Friday 28 October 2011

Notis bankrap exco S'gor: Penghakiman ingkar didengar 15 Jun

KUALA LUMPUR: Permohonan anggota exco Selangor Datuk Abd Rahman Palil untuk mengetepikan penghakiman ingkar yang diterimanya, akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini, 15 Jun ini.
Tarikh itu ditetapkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Ho Kwong Chin dalam kamarnya hari ini.
Ho menetapkan tarikh itu selepas menolak bantahan awal ahli perniagaan Zarinah Abu Bakar berhubung kandungan afidavit untuk mengetepikan penghakiman ingkar yang dikemukakan Abd Rahman pada 6 April lepas.
Peguam Keppy Wong yang mewakili Zarinah, ketika ditemui wartawan di luar mahkamah berkata petisyen kebankrapan terhadap Abd Rahman telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam minggu lepas dan dijangka akan diserahkan kepada Abd Rahman esok.
Wong berkata petisyen kebankrapan itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 Julai ini.
Pada 8 Mac lepas, notis kebankrapan diserahkan kepada Abd Rahman berhubung pembayaran wang sebanyak RM311,295.35 kepada Zarinah, bekas pengarah syarikat Agmal Development Sdn Bhd (Agmal).
Notis itu dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, selepas Zarinah memperoleh penghakiman ingkar daripada Mahkamah Tinggi di sini terhadap Abd Rahman pada 20 Feb lepas.
Penghakiman ingkar itu dibuat oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, Marutin Anak Pagan yang memerintahkan Abd Rahman membayar RM311,295.35 sebagai gantirugi khas dan kos RM285 kepada Zarinah.
Ini berikutan tiada pernyataan pembelaan difailkan oleh Abd Rahman yang dinamakan sebagai defendan dalam saman yang dikemukakan oleh Zarinah pada 21 Dis tahun lepas.
Zarinah, 36, menfailkan writ saman terhadap Abd Rahman bagi menuntut ganti rugi RM311,295.35 kerana didakwa memungkiri perjanjian berhubung penjualan syarikat asal miliknya, Agmal, setelah dikurniakan sebidang tanah bernilai lebih RM9 juta, 11 tahun lepas.
Menurut pernyataan tuntutan itu, Zarinah selaku plaintif menyatakan bahawa sehingga akhir tahun 1994, beliau merupakan pemegang saham terbesar dalam syarikat Agmal.

Zarinah mendakwa pada tahun 1994, Abd Rahman telah menghantar dua wakilnya termasuk seorang pegawai Pejabat Tanah Daerah Petaling bagi berbincang menggunakan syarikat itu dalam satu permohonan mendapatkan sebidang tanah daripada kerajaan negeri Selangor.
Zarinah mendakwa, beliau, Abd Rahman dan dua wakilnya bersetuju dengan empat terma antaranya ialah Zarinah akan memberikan 60 peratus saham syarikat itu kepada Abd Rahman, 20 peratus kepada wakilnya dan 10 peratus kepada isteri pegawai pejabat tanah tersebut.
Zarinah mendakwa beliau juga akan mendapat saham sebanyak 10 peratus daripada nilai tanah yang diperoleh.

Zarinah mendakwa Pejabat Tanah Daerah Petaling kemudian telah meluluskan permohonan itu dan mengurniakan sebidang tanah seluas 11.3 hektar di Sungai Buloh yang bernilai RM9,147,600 pada waktu itu.
Bagaimanapun Zarinah mendakwa bagi mengelak cukai, Abd Rahman memutuskan untuk tidak menjual tanah itu, sebaliknya menjual semua saham syarikat Agmal kepada syarikat Aras Bumi Sdn Bhd dengan harga RM2 juta pada Oktober 1995.
Zarinah mendakwa beliau telah menerima bayaran pertama sebanyak RM18,295 daripada sahamnya dan 12 bayaran lagi secara berperingkat-peringkat mulai tahun 1995 hingga tahun lepas.

Beliau mendakwa Abd Rahman sehingga kini masih berhutang sebanyak RM311,295.53 kepadanya.
Berikutan itu Zarinah mendakwa Abd Rahman gagal menunaikan janji sehingga menyebabkannya mengalami kesengsaraan, tekanan jiwa dan mental. BERNAMA

No comments:

Post a Comment