Friday 28 October 2011

Rumah tak siap, pembeli muflis

KLANG: “Kami nak rumah yang dijanjikan...jangan tahu minta duit kami saja, tetapi pembinaan tak dijalankan.” Itu rayuan 16 pembeli rumah berkembar satu tingkat di Jalan Kopi, Meru, di sini, yang terbengkalai sejak sekian lama.
Difahamkan, projek perumahan itu mula dibuka untuk jualan sejak 2003 dan hanya terdapat 24 unit yang dijual, namun sehingga kini terbengkalai dan tiada tanda-tanda bakal siap dalam masa terdekat.

Berikutan usaha sebelum ini tiada penyelesaian, pembeli rumah berkenaan sepakat mengadu permasalahan mereka di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shah Alam, semalam. Bahrin Yunos, 42, berkata syarikat pemaju seolah-olah lepas tangan terhadap projek perumahan yang terlalu lama terbengkalai dan tidak memberi respons menyenangkan kepada pembeli yang masih menunggu keputusan status rumah mereka.
Lebih malang, selepas dia dan rakan pembeli lain merujuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan kerajaan negeri, mereka mendapati pemaju yang mengendali projek perumahan itu tidak berlesen.

“Saya sudah cuba banyak kali menghubungi pemaju, tetapi tidak pernah mendapat jawapan positif, malah diberi janji palsu berulang kali,” katanya.

Ada di kalangan pembeli rumah itu diisytihar muflis akibat gagal menjelaskan hutang mencecah hampir RM300,000 walaupun sudah memberi penjelasan kepada pihak bank bahawa projek perumahan terbabit terbengkalai.

“Pihak bank sudah membuat bayaran sehingga 95 peratus kepada pemaju, tetapi jika dilihat kepada proses pembinaan kurang daripada 70 peratus bahagian yang siap dibina. Sampai bila lagi kami perlu tunggu?,” katanya.

No comments:

Post a Comment