Saturday, 29 October 2011

Sekatan Ke Luar Negara: Jabatan Insolvensi Perketat Syarat Pelepasan

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

PETALING JAYA: Jabatan Insolvensi memperketatkan syarat kelulusan permohonan pelepasan individu yang diisytiharkan bankrap untuk ke luar negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata, sebelum ini banyak pihak memperlekehkan jabatan itu yang dikatakan mudah memberi pelepasan pihak terbabit ke luar negara.

“Sudahlah ramai yang mempersalahkan kami yang kononnya membankrapkan mereka. Kini mereka mengambil kesempatan terhadap peluang pelepasan ke luar negara yang diberikan.
“Selepas ini setiap permohonan bukan sahaja dinilai berdasarkan alasan dan pengesahan, malah rekod kerjasama mereka dengan Jabatan Insolvensi berhubung kes kebankrapan,” katanya kepada mStar Online pada Ahad.

Beliau mengulas laporan eksklusif muka depan akhbar The Star pada Sabtu mengenai sekatan terhadap rakyat Malaysia ke luar negara atas pelbagai sebab dan kesalahan.
Sebanyak 13 agensi yang menyalurkan senarai hitam kepada Jabatan Imigresen dan Jabatan Insolvensi mencatatkan jumlah paling tinggi seramai 196,473 orang atau 46 peratus.

Abdul Karim berkata, antara sebab permohonan individu bankrap untuk pelepasan ke luar negara adalah urusan kerja, beribadat dan perubatan.
Bagaimanapun katanya, terdapat kes penipuan dan alasan tidak relevan dikenal pasti dalam permohonan pelepasan yang dibuat oleh si bankrap.

“Ada yang menggunakan sebab atas urusan kerja, namun didapati ke luar negara untuk melancong. Begitu juga menggunakan alasan untuk bercuti bersama keluarga.

“Mereka sepatutnya sedar supaya mengubah gaya hidup dan corak perbelanjaan bagi melunaskan hutang kepada pemiutang untuk keluar daripada kebankrapan,” katanya.
Beliau menambah, setiap permohonan perlu disertakan dengan penyata pendapatan dan perbelanjaan bagi tempoh enam bulan.
Ini katanya, termasuk pengesahan dengan bukti dan jaminan bagi sebab-sebab pelepasan seperti urusan kerja, beribadat dan perubatan.

Dari tahun 2005 sehingga Jun tahun ini, seramai 81,908 individu diisytiharkan bankrap membabitkan hutang RM71.36 bilion.
Bagaimanapun, bagi tempoh yang sama, jumlah bayaran semula kepada pemiutang atau dikenali sebagai dividen hanya RM281.99 juta iaitu kira-kira 0.3 peratus.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, status kebankrapan boleh merujuk kepada mana-mana cawangan Jabatan Insolvensi di seluruh negara.
Menurut beliau, ramai individu hanya mengetahui diri mereka diisytiharkan bankrap apabila dikenakan sekatan di bahagian imigresen di lapangan terbang dan pintu masuk negara.

“Terdapat individu bankrap yang sudah pun mengetahui status kebankrapannya tetapi tidak pernah bekerjasama dengan Jabatan Insolvensi untuk membuat bayaran.
“Mereka hanya datang kepada kami apabila mahu ke luar negara sehingga membuat rayuan agar diberikan pelepasan,” katanya.
Jelasnya, mereka yang diisytiharkan bankrap secara automatik akan disenaraihitamkan bagi tindakan sekatan ke luar negara.

Bagaimanapun, mereka akan diberikan pelepasan sementara bagi tujuan tersebut di atas kelulusan dan budi bicara Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi bergantung pada sebab dan keadaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai di kalangan peminjam utama dan penjamin supaya bertanggungjawab untuk memeriksa data berkaitan.
“Syak wasangka perlu dirasai mereka yang pernah membuat pinjaman atau menjadi penjamin, tidak bayar hutang atau sukar bekerjasama dengan Jabatan Insolvensi,” ujarnya.

Selain Jabatan Insolvensi, agensi lain yang turut menyediakan senarai hitam untuk tindakan sekatan ke luar negara seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

No comments:

Post a Comment