Friday 28 October 2011

Bankrap: Raja Kechil Besar Perak dilucut gelaran

IPOH:  Raja Datuk Seri Izzuddin Iskandar Shah ibni Almarhum Sultan Idris A'fifullah Shah telah dilucutkan gelaran sebagai Raja Kechil Besar Perak berkuatkuasa Rabu lepas.

Sultan Perak Sultan Azlan Shah membuat keputusan itu dengan persetujuan Dewan Negara Perak yang bersidang pada 25 Nov lepas.

Pengumuman pelucutan gelaran itu dibuat oleh Setiausaha Dewan Negara Perak Toh Amar Sri Diraja Datuk Ayop Hashim dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Kenyataan itu menyebut bahawa Sultan Azlan dengan persetujuan Dewan Negara Perak telah melucutkan Raja Izzuddin Iskandar Shah, seorang bankrap yang belum dilepaskan, daripada menyandang gelaran sebagai Raja Kechil Besar Perak.

Menurut kenyataan itu, pelucutan gelaran itu dibuat mengikut Fasal (1) Perkara LIV (54) Bahagian Yang Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan dengan persetujuan Dewan Negara Perak.

Surat Perintah mengenai pelucutan gelaran itu telah disiarkan dalam Warta pada 29 Nov 2006.

"Menurut Fasal (2) Perkara LIV (54) Bahagian Yang Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, pelucutan gelaran ini berkuatkuasa pada tarikh penyiaran Surat Perintah itu," menurut kenyataan itu. BERNAMA

No comments:

Post a Comment