Friday, 28 October 2011

Bakal Muflis akibat tidak faham

KUALA LUMPUR: “Pengguna tidak faham dengan produk perbankan dan insurans antara punca utama mereka terbelenggu dengan lambakan hutang di kemudian hari,” kata Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman.
Katanya, mereka yang tergolong antara usia 35 hingga 45 tahun muflis kerana diselubungi isu kewangan berkaitan kad kredit dan kebanyakan produk perbankan termasuk insurans.

“Ada antara mereka berbelanja secara tidak berhemah dan tidak tahu menguruskan kewangan dengan baik. Antara punca muflis faktor menyelesaikan kos perkhidmatan lain seperti kos rawatan perubatan dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.
Beliau mengulas mengenai golongan muda yang banyak diisytiharkan muflis kerana terperangkap hutang kad kredit seperti dilaporkan Harian Metro baru-baru ini.

Menurutnya, ada sesetengah kes kecemasan membabitkan perbelanjaan besar tidak ditanggung sepenuhnya syarikat insurans dan kad kredit pilihan bagi kebanyakan pengguna bagi mengelakkan pinjaman pihak tidak bertauliah seperti along.

“Semua pihak kena faham mereka perlu mempunyai simpanan setiap bulan bagi kes kecemasan atau perkara tidak dijangka kerana ia tidak dinafikan menjadi punca masalah kewangan,” katanya.

Mohd Yusof berkata, kini syarat memiliki kad kredit masih longgar kerana sesiapa saja mampu menjadi pemegang kad terbabit.

Menurutnya, kebanyakan bank tidak mementingkan pendidikan perbankan berkaitan produk mereka serta cara penyelesaian kewangan pelanggan kerana tidak menganggap mereka sebagai aset tetapi hanya melihat keuntungan dan komisyen daripada jumlah pelanggan ramai serta mementingkan pemasaran semata-mata.
Mereka ditawarkan pelbagai jenis kad kredit mampu mengurangkan perbelanjaan tetapi sebaliknya berlaku.

No comments:

Post a Comment