MENELITI satu persatu rak pakaian jenama baharu yang dipamerkan dalam gedung dan butik tempatan, tergerak dalam hati untuk memiliki koleksi yang sama.
Melihat rakan-rakan yang lebih dulu memakainya, membuat hati meronta-ronta mahu ikut serta.
Akhirnya, digenggam juga pakaian tersebut tanpa memikirkan wang yang semakin ‘menipis’ dalam simpanan.
“Kadangkala hajat membeli itu disimpan lama terutamanya untuk memiliki barangan gajet terkini sehingga sanggup berlapar,” ujar Syafil Syazwan Jeffri, 24, sambil membelek tablet yang mendapat perhatian golongan muda masa kini.
Gaya hidup di luar kemampuan sering menjadi punca utama masalah kewangan yang semakin meruncing dalam kalangan remaja. Hal tersebut membawa kepada bebanan hutang pada usia muda akibat berbelanja secara berlebihan.
Perbelanjaan terbesar yang perlu dilunaskan Syafil setiap bulan ialah sewa rumah. Bayaran tersebut hampir separuh daripada gaji pokoknya. Walaupun berdepan dengan kadar sewa yang tinggi, dia terpaksa akur dengan pilihan itu memandangkan jarak rumah dan tempat kerjanya dekat berbanding rumah sewa lain.
“Selain itu, tanggungan bulanan juga merangkumi bil internet, telefon, kelab gimnasium dan perbelanjaan makan minum,” jelasnya.
Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) mengenai perilaku dan tabiat kewangan golongan pekerja muda, 37 peratus daripada kelompok tersebut mengakui mereka berbelanja melebihi gaji bulanan.
Tahap pengetahuan yang rendah mengenai pengurusan kewangan menjadi salah satu punca kepada kemelut bebanan hutang golongan tersebut. Kajian CRRC membuktikan 47 peratus daripada mereka dibebani hutang serius.
BANYAK faktor perlu diambil kira oleh golongan muda yang baru bekerja sebelum membeli kereta.– Gambar hiasan
Kos sara hidup yang meningkat saban tahun turut menyumbang kepada masalah pengurusan wang golongan muda. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada tahun 2009, pendapatan kasar bulanan isi rumah di kawasan bandar menjulang naik kepada RM4,705 berbanding RM3,357 pada tahun 1999.
Hal ini memberi gambaran bebanan dan tanggungan perlu dihadapi oleh golongan muda terutamanya graduan yang baru memasuki alam pekerjaan.
Urus kewangan
Adakah cara hidup generasi ini perlu disalahkan sepenuhnya atau perlu mengambil kira kos sara hidup yang semakin meningkat?
Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Mohd Fauzi Mohd Jani, berkata, golongan muda perlu mengukur baju di badan sendiri ketika berbelanja dan menguruskan kewangan.
“Tidak dinafikan kos sara hidup yang tinggi mempengaruhi perbelanjaan bulanan seseorang. Ia ditambah dengan gaya hidup yang tidak selari dengan pendapatan.
“Namun begitu, ia berbalik kepada individu itu sendiri. Mereka seharusnya mengetahui cara pengurusan wang dengan bijak. Langkah yang salah dalam perkara ini menjerumuskan ramai golongan muda dalam perangkap muflis,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo!.
Tambah Mohd. Fauzi, salah satu punca utama berlakunya muflis dalam kalangan golongan muda adalah disebabkan penggunaan kad kredit tanpa had. Kebanyakan kes yang berlaku disebabkan kegagalan membayar balik hutang kad kredit yang tinggi dan di luar kemampuan mereka.
Mengikut statistik yang dikeluarkan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), jumlah pemuda berusia 34 tahun ke bawah yang muflis meningkat setiap tahun. Sebanyak 47 peratus daripada jumlah keseluruhan 4,568 kes baharu direkodkan sehingga suku tahun lalu.
“Namun demikian, kita perlu mengkaji punca mereka menggunakan kad kredit. Ini kerana ada yang membuat kad kredit untuk melangsaikan bayaran perniagaan mereka sehingga menjadi muflis.
“Perkara ini perlu diambil kira dan pada masa yang sama, beberapa inisiatif harus dilakukan bagi membantu remaja yang muflis disebabkan masalah pengurusan wang dalam perniagaan,” jelas Mohd. Fauzi.
Perancangan kewangan yang lemah dan kurangnya pengetahuan mengenai pengurusan wang menjadi faktor utama masalah hutang. Situasi ini menyumbang kepada masalah muflis yang semakin meningkat saban tahun.
Seramai 9,471 orang telah diisytiharkan muflis sehingga suku ketiga tahun 2012 mengikut statistik MdI.
Sejumlah 6,203 daripadanya diisytiharkan sebagai muflis akibat kegagalan menjelaskan hutang kad kredit. Ia menjadi kebimbangan kerana turut membelenggu sebilangan belia yang mempunyai tanggungan kad kredit dalam usia yang masih muda.
SYAFIL (kiri) mengakui dirinya terjerat dengan kos perbelanjaan bulanan yang tinggi.
“Hutang yang semakin meningkat saban tahun memaksa saya mencari solusi masalah kewangan ini,” ujar pekerja sektor awam, Saida Akmar, 25, yang mula menggunakan kad kredit sejak tahun 2011.
“Walaupun sudah mengehadkan perbelanjaan sebanyak RM5,000 untuk sebulan, penggunaan kad kredit membuatkan Saida terleka ketika membeli-belah.
“Tidak dinafikan, semua yang berlaku kerana kesalahan sendiri yang tidak dapat menahan diri ketika berbelanja,” keluh Saida.
Bahang kos sara hidup tinggi turut dialami oleh Nurliza Barhan, 25, yang berhijrah ke ibu kota untuk mencari peluang pekerjaan yang setaraf dengan bidang pengajiannya.
Bagi gadis kelahiran Miri, Sarawak itu, penyelarasan gaji bagi pemegang ijazah boleh mengurangkan masalah kewangan yang berlaku kepada golongan muda seperti dirinya.
“Apa yang saya lihat sekarang, gaji bagi lepasan ijazah tidak selaras di sektor awam atau swasta. Penyelarasan perlu dipertimbangkan memandangkan peningkatan kadar perbelanjaan saban tahun,” ujar Nurliza ketika ditemui di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Penyelarasan
Mengulas isu tersebut, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk menyelaraskan tangga gaji penjawat awam berkelulusan ijazah yang kini berada di bawah gred 41.
“Perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang dijalankan kerana keperluan untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020,” ujarnya.
Dilema yang membelenggu diri akibat bebanan hutang perlu diatasi secepat mungkin. Antara langkah yang yang boleh dimulakan adalah dengan mengikuti
proram-program motivasi dan kewangan seperti yang diadakan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melalui Program Pengurusan Kredit.
“Sehingga Disember 2012, lebih daripada 207,997 orang telah mendapatkan khidmat kaunseling di AKPK. Pada masa sama, 85,994 orang daripada jumlah tersebut telah dibantu melalui Program Pengurusan Kredit,” ujar Pengurus Bahagian Pendidikan Kewangan AKPK, Nor Akmar Yaakub, ketika ditemui di pejabat urusan AKPK.
Program yang dijalankan bertujuan untuk memupuk tabiat meminjam secara bijak sekali gus menggalakkan budaya pembayaran semula peminjam secara konsisten. Mengikut statistik AKPK, seramai 2,039 belia telah mengikuti program tersebut.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2LVGiWkCH
Hakcipta terpelihara