Monday 5 November 2012

Belanja ikut MAMPU bukan NAFSU

TARIKH : 29/10/12
Perubahan gaya hidup dan kos sara hidup yang semakin meningkat terutama di bandar besar menyebabkan peningkatan kes muflis sejak beberapa tahun lalu. Sebahagian besar daripada mereka pula adalah generasi muda yang teruja menjalani gaya hidup mewah di kota besar walaupun baru bekerja selepas tamat pengajian di universiti. Justeru, laporan lebih 50,000 orang muda berusia 34 tahun ke bawah yang diisytiharkan muflis dalam tempoh lima tahun lalu bukan sesuatu yang mengejutkan. Rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) menunjukkan peningkatan jumlah kes muflis yang didaftar pada kadar 5.5 peratus setahun. Ini tidak termasuk mereka yang meminjam daripada along dan tidak mampu membayar balik pinjaman itu. Kebanyakan orang muda ini dikatakan terperangkap dalam pinjaman yang diambil bagi membeli kereta atau rumah, manakala yang lain menggunakan wang itu untuk tujuan peribadi atau bagi membuka perniagaan. Namun, ada juga yang muflis kerana menjadi mangsa penipuan berikutan butiran peribadi mereka disalah guna oleh peminjam tidak dikenali.

Rekod yang dikumpulkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menunjukkan daripada 4,568 kes muflis pada suku pertama tahun ini, kira-kira 47 peratus peminjam terdiri daripada Melayu, 34 peratus Cina, sembilan peratus India dan 10 peratus kaum lain. Golongan terbesar pula ialah peminjam dari Selangor, Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Ini secara langsung menunjukkan peningkatan kos kehidupan di bandar besar seperti sewa atau harga rumah, kos pengangkutan dan sara hidup lain menyumbang kepada kes muflis. Dengan kadar inflasi yang semakin meningkat akibat kenaikan harga barangan di seluruh dunia, rata-rata pemastautin kota yang berpendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 hanya mampu menampung perbelanjaan seisi rumah secara sederhana. Justeru, adalah wajar PPIM dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) memantapkan usaha bagi mendidik golongan terbabit mengenai gejala berbelanja di luar kemampuan. AKPK juga wajar memberi khidmat nasihat dan bimbingan berterusan untuk mencari jalan keluar daripada masalah hutang dan kemuflisan. Institusi kewangan sewajarnya berunding dengan peminjam yang menghadapi masalah untuk menjadualkan semula pembayaran. Aspek perundangan juga perlu dipinda supaya mereka yang bermasalah diberi peluang membina hidup baru dan membayar pinjaman, bukan dengan sewenang-wenangnya diisytihar muflis. Apa yang lebih penting, setiap individu harus sedar kedudukan kewangan diri dan berbelanja mengikut keperluan.

MEDIA : BERITA HARIAN
TARIKH : 29/10/12
M/S: 22

Muflis angkara henti bayar aset tak wujud


TARIKH : 3/11/12

Kuala Lumpur: Enggan membayar untuk pembelian aset tidak wujud antara punca sesetengah individu diisytihar muflis, sekali gus menunjukkan ada kelemahan dalam Akta Kebankrapan 1967.
Akta berkenaan tidak mempunyai peruntukan untuk menimbangkan kes tertentu membabitkan defendan yang ditipu.
Antara mangsa kes sedemikian ialah Suhaimi Hassan, 52, yang tidak pernah menyangka keputusannya membeli rumah sebagai hadiah hari lahir isteri, Halimah Desa, 45, berakhir dengan mereka diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, dua tahun lalu.
Ketika ditemui di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, Suhaimi berkata, beliau membeli rumah berharga RM40,180 melalui projek milik sebuah anak syarikat kerajaan Selangor yang dibangunkan sebuah syarikat pemaju di Batang Kali pada 1997 dan membuat pinjaman bank sebanyak RM32,998.
Bank jelas bayaran rumah
"Pada 2000, saya menerima surat daripada bank meminta datang mengambil kunci kerana bank sudah menjelaskan keseluruhan harga rumah.
"Namun, apabila saya ke pejabat anak syarikat kerajaan negeri itu, pegawai bertugas mengambil surat pemberitahuan itu bersama semua resit bayaran air dan elektrik bagi rumah berkenaan yang sudah kami bayar.
"Ketika itu, baru saya tahu lokasi rumah terbabit sebenarnya sebuah lorong, bukan seperti tertera dalam pelan asal projek itu," katanya yang kemudian menyaman anak syarikat kerajaan negeri itu pada 2002.
Suhaimi mendakwa, berkata, mahkamah kemudian memerintahkan anak syarikat kerajaan negeri itu membayar semula jumlah pinjaman dibuatnya dengan bank, namun beliau dimaklumkan pihak bank yang mereka tidak pernah menerima bayaran berkenaan.
Pada 2004, katanya, beliau membuat keputusan berhenti membayar ansuran bulanan rumah itu kerana tidak mahu berbelanja untuk aset tidak wujud. Namun, tindakan itu mengundang musibah apabila disaman bank beberapa tahun kemudian atas kegagalan membuat pembayaran bulanan seperti dalam perjanjian.
"Pada Mei 2010, saya diisytihar muflis. Apa yang saya hairan, bank dalam afidavitnya langsung tidak menyebut perihal aset yang sama sekali tidak wujud itu, cuma menyatakan kegagalan saya menjelaskan ansuran bulanan, sedangkan saya berbuat demikian kerana aset yang dibeli tidak wujud," katanya.
Kehidupan musnah
Suhaimi berkata, perisytiharan muflis menyebabkan hidupnya musnah sekelip mata apabila lesen perundingnya ditarik balik serta akaun bank dibekukan, menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa bergantung kepada belas ihsan ahli keluarga.
Ditanya sama ada masalah itu pernah diadukan kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), Suhaimi mendakwa, beliau pernah dinasihati pegawai jabatan itu supaya tidak membuat pembayaran ansuran bulanan berkenaan kerana ia membabitkan aset tidak wujud.
"Menurut pegawai MdI itu, bank tidak boleh menyaman saya kerana aset berkenaan tidak wujud dan saya tidak sepatutnya diisytiharkan muflis dalam hal ini," katanya.

Oleh: Sophia Ahmad
MEDIA : BERITA HARIAN
TARIKH : 3/11/12
M/S: 8