Saturday, 29 October 2011

'Kerja Kami Bukan Bankrapkan Orang Saja'

KUALA LUMPUR: “KAMI bukan zalim membankrapkan orang kerana Jabatan Insolvensi Malaysia mentadbir hal ehwal mereka yang sudah diisytiharkan bankrap.”
Demikian menurut Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil mengenai salah tafsir segelintir masyarakat terhadap fungsi organisasi itu.
Hanya disebabkan urusannya membabitkan hal kebankrapan, maka Jabatan Insolvensi sering menjadi tempat melepaskan kemarahan dan rasa tidak puas hati si bankrap.

Beliau berkata, jabatan disifatkan tidak memahami kesusahan orang yang meminjam wang, selok-belok perniagaan dan keadaan orang yang terpaksa berhutang.
“Mereka juga mengatakan Jabatan Insolvensi tidak faham kenapa orang tidak dapat bayar hutang dan perasaan seseorang itu yang diisytiharkan bankrap.
“Mereka marah sehingga mengeluarkan kata-kata kesat. Ada juga yang takut pada kita, malah beremosi kerana mempunyai persepsi mengenai kita yang menyekat kebebasan dan merosakkan kehidupan mereka,” katanya kepada Mingguan mStar.

Seseorang itu akan diisytiharkan bankrap apabila mendapat perintah mahkamah di atas kegagalan membayar hutang sekurang-kurangnya RM30,000.
Segala transaksi kewangan mereka disekat dan aset akan diserahkan kepada Jabatan Insolvensi untuk ditadbir urus bagi agihan bayaran kepada pemiutang.
Si bankrap turut hilang kelayakan dari segi kedudukan sama ada dalam politik, persatuan dan syarikat kerana status kebankrapan mereka menyentuh isu integriti.
Jabatan Insolvensi mentadbir hal ehwal si berhutang atau si bankrap mengikut Akta Kebankrapan 1967 dan Kaedah-Kaedah Kebankrapan 1969.

Selain itu Abdul Karim berkata, perilaku mereka turut dipantau terutama membabitkan gaya hidup dan mengelakkan dari terjebak dengan bankrap kali seterusnya.
Menurut beliau, kebaikan seseorang penghutang itu diisytiharkan bankrap, mana-mana pemiutang tidak dibenarkan membuat tuntutan secara persendirian.
“Oleh itu, si bankrap dilindungi daripada tekanan dan desakan pemiutang dan pembayaran hutang hanya boleh dibuat menerusi Jabatan Insolvensi.
“Tidak dinafikan ada yang mengisytiharkan mereka sebagai bankrap di mahkamah bagi mendapatkan perlindungan, namun jumlahnya amat kecil,” ujarnya.
Si bankrap yang ditadbir urus pembayaran hutangnya oleh Jabatan Insolvensi tidak kurang daripada lima tahun dan tempoh bergantung kepada kerjasama mereka.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, peranan Jabatan Insolvensi perlu adil kerana perlu menjaga kepentingan pemiutang selain melindungi si bankrap.

Menurut beliau, kecekapan akan dipertingkatkan bagi mengenal pasti aset dan hutang si bankrap, cara penyelesaian hutang dan agihannya kepada pemiutang.
“Penstrukturan semula yang dilakukan kerana Jabatan Insolvensi tidak mahu dilihat sebagai penguatkuasa, tetapi perunding dan penasihat,” katanya.

No comments:

Post a Comment