Tuesday, 18 December 2012

18/12/12-Bela nasib golongan muflis



KUALA LUMPUR: Tampil beri kerjasama dan pandangan cari penyelesaian. Itu peluang menanti mereka yang disenaraihitamkan serta diisytihar muflis terutama golongan muda bagi mendapatkan kembali hak serta bebas daripada belenggu bankrap.
Menerusi pengumpulan maklumat di laman sosial facebook dan twitter, Pemuda Umno bersama gabungan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) membawa semua pendapat berkenaan ke pengetahuan pihak berwajib termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz untuk pertimbangan selanjutnya.
Menjelaskan perkara itu, Exco Pemuda Umno, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pihaknya terpanggil menggerakkan inisiatif itu berikutan rekod sedia ada menunjukkan lebih 240,000 orang muflis termasuk kakitangan kerajaan dan usahawan tidak mendapat pembelaan.
Katanya, hasil pertemuan bersama Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) di Putrajaya baru-baru ini, terdapat ruang untuk mereka kembali menjalani kehidupan seperti biasa dengan komitmen kerajaan mengkaji semula Akta Kebankrapan 1967 seperti diumumkan Perdana Menteri dalam Perhimpunan Agung Umno 2012 lalu.
"Kami mahu mereka tampil memberikan pandangan serta bekerjasama. Hasil maklumat akan dibawa kepada pengetahuan pihak berkuasa. Saya yakin, akta baru memberikan lebih ruang kepada orang bankrap mendapat peluang kedua.
"Difahamkan, hanya 20 peratus saja berjaya dikenal pasti sementara bakinya tidak diketahui," katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Muflis @ Bankrap di sini, semalam.
Hadir sama, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad dan Ketua Biro Pemantau Perkhidmatan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Abdul Karim Said Khadaied.
Sohaimi yang juga Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan (BePU), Pemuda Umno, berkata, orang ramai boleh melayari blog www.muflis-peluangkedua.blogspot.com atau facebook dan twitter Muflis Peluang Kedua bagi tujuan itu.

18/12/12 : Perlu pendapat individu muflis sebelum pinda Akta Kebankrapan



Kuala Lumpur: Kerajaan perlu mendengar pandangan lebih 240,000 rakyat negara ini yang diisytihar muflis, sebelum melakukan pindaan kepada Akta Kebankrapan 1976.
Sehubungan itu, Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan meminta semua individu yang diisytihar muflis supaya tampil mengemukakan pandangan dan cadangan mereka.
"Kita tidak mahu pindaan itu nanti hanya syok sendiri yang mana pegawai Jabatan Insolvensi berbincang sesama mereka kemudian mengemukakan cadangan kepada kerajaan. Sebaliknya, kita mahu mereka mendengar pandangan individu diisytiharkan muflis.
Banyak kategori muflis
"Individu yang diisytiharkan muflis ada banyak kategori, sebahagian mangsa penipuan, ada diisytiharkan muflis kerana menjadi penjamin dan ada juga disebabkan masalah pembelian rumah. Kumpulan ini perlu diberi perhatian termasuk juga usahawan.
"Pemuda UMNO akan mengumpul cadangan mereka yang muflis sehingga Januari ini melalui media sosial dan forum yang diadakan sebelum mengemukakannya kepada kerajaan," katanya selepas merasmikan Kempen Muflis @ Bankrap: Anda Masih Ada Peluang Kedua di sini, semalam.
Sohaimi juga meminta kerajaan menyemak semua keputusan mahkamah berhubung pengisytiharan muflis bagi memastikan ia adil kepada kedua-dua pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung UMNO lalu mengumumkan bersetuju mengkaji semula peraturan baru berkaitan undang-undang kebankrapan di negara ini.
Cadangan pindaan kepada akta itu dibentangkan Sohaimi mewakili Pemuda UMNO ketika membahaskan usul ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO.
Sementara itu, Ketua Biro Pemantau Perkhidmatan Kewangan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Abdul Kareem Said Kadaied, berkata berdasarkan pengalaman pihaknya ramai anak muda Melayu menganggur kerana diisytiharkan muflis.
"Saya rasa kita perlu beri perhatian kerana sistem kini dilihat lebih mesra kepada pihak bank berbanding rakyat. Di PPIM, kita banyak mendapat kes membabitkan peminjam itu diisytihar muflis kerana ditipu.
"Bahkan ada satu kes, pasangan ini membeli rumah dan pemaju tidak membina rumah berkenaan, lebih dari itu tanah yang dimaksudkan untuk kediaman terbabit adalah jalan raya," katanya.
INFO
Muflis
- Lebih 240,000 diisytihar muflis.
- 50,000 berusia bawah 34 tahun.
- 25.21 peratus pinjaman kereta.
- 13.15 peratus pinjaman persendirian.
- 12.31 peratus pinjaman perumahan.
- 11.26 peratus pinjaman perniagaan.
- 4.9 peratus pinjaman kad kredit.