TARIKH : 29/10/12
Perubahan
gaya hidup dan kos sara hidup yang semakin meningkat terutama di bandar besar
menyebabkan peningkatan kes muflis sejak beberapa tahun lalu. Sebahagian besar
daripada mereka pula adalah generasi muda yang teruja menjalani gaya hidup
mewah di kota besar walaupun baru bekerja selepas tamat pengajian di
universiti. Justeru, laporan lebih 50,000 orang muda berusia 34 tahun ke bawah
yang diisytiharkan muflis dalam tempoh lima tahun lalu bukan sesuatu yang
mengejutkan. Rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) menunjukkan peningkatan
jumlah kes muflis yang didaftar pada kadar 5.5 peratus setahun. Ini tidak
termasuk mereka yang meminjam daripada along dan tidak mampu membayar balik
pinjaman itu. Kebanyakan orang muda ini dikatakan terperangkap dalam pinjaman
yang diambil bagi membeli kereta atau rumah, manakala yang lain menggunakan
wang itu untuk tujuan peribadi atau bagi membuka perniagaan. Namun, ada juga
yang muflis kerana menjadi mangsa penipuan berikutan butiran peribadi mereka
disalah guna oleh peminjam tidak dikenali.
Rekod
yang dikumpulkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menunjukkan daripada
4,568 kes muflis pada suku pertama tahun ini, kira-kira 47 peratus peminjam
terdiri daripada Melayu, 34 peratus Cina, sembilan peratus India dan 10 peratus
kaum lain. Golongan terbesar pula ialah peminjam dari Selangor, Johor dan
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Ini secara langsung menunjukkan peningkatan
kos kehidupan di bandar besar seperti sewa atau harga rumah, kos pengangkutan
dan sara hidup lain menyumbang kepada kes muflis. Dengan kadar inflasi yang
semakin meningkat akibat kenaikan harga barangan di seluruh dunia, rata-rata
pemastautin kota yang berpendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 hanya mampu
menampung perbelanjaan seisi rumah secara sederhana. Justeru, adalah wajar PPIM
dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) memantapkan usaha bagi
mendidik golongan terbabit mengenai gejala berbelanja di luar kemampuan. AKPK
juga wajar memberi khidmat nasihat dan bimbingan berterusan untuk mencari jalan
keluar daripada masalah hutang dan kemuflisan. Institusi kewangan sewajarnya
berunding dengan peminjam yang menghadapi masalah untuk menjadualkan semula
pembayaran. Aspek perundangan juga perlu dipinda supaya mereka yang bermasalah
diberi peluang membina hidup baru dan membayar pinjaman, bukan dengan
sewenang-wenangnya diisytihar muflis. Apa yang lebih penting, setiap individu
harus sedar kedudukan kewangan diri dan berbelanja mengikut keperluan.
MEDIA : BERITA HARIAN
TARIKH : 29/10/12
M/S: 22
No comments:
Post a Comment