Raju: “Sama lah dengan aku. IOI Mall, Alamanda pun dah jemu sangat! Ha, aku dengar ada shopping complex baru kat Gombak. Nama dia Festival City. Apa lagi, jom attack!”
Adakah anda familiar dengan dialog harian ini? Teruskan membaca.
Baru-baru ini, didedahkan di dada akhbar betapa kronik sebenarnya fenomena muflis di negara kita dan yang paling memeranjatkan ialah ia melibatkan golongan muda (bawah 40 tahun). Tetapi jika diselidik kembali, ianya tidaklah sangat memeranjatkan jika kehidupan seorang eksekutif muda, kos sara hidup yang semakin meningkat dan jumlah pusat beli belah di Malaysia diperhati dan dibuat analisis.
Suka membeli belah dan pengurusan kewangan yang teruk itulah yang gambaran paling tepat mengenai sikap golongan muda di Malaysia. Berdasarkan kajian secara rambang yang dilakukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selvaraj dimana dalam tempoh 3 tahun yang lalu, sebanyak 41 orang diisytiharkan bankrap setiap hari. Sementara pada setiap hujung minggu pula, kira-kira lima juta pengguna berpusu-pusu menyerbu 320 pusat membeli belah yang terdapat di seluruh negara!
Kita ambil contoh mudah dengan melihat senario graduan baru bekerja. Kita andaikan graduan itu mendapat gaji RM2,000 sebulan (tidak termasuk graduan mendapat gaji tidak setimpal dengan kelulusan iaitu RM800 hingga RM1,200). Dengan gaji RM2,000, bermulalah kerjaya graduan sebagai eksekutif muda di bandar atau di kawasan pinggir bandar. Dengan semangat berkobar-kobar berserta iringan doa dan kata perangsang ibu bapa, bekerjalah eksekutif muda dengan azam membangunkan diri, membantu ibu bapa dan keluarga yang banyak berkorban.Tetapi selepas mengharungi hidup sebagai eksekutif muda dan terdedah dengan persekitaran kerja yang mencabar mental dan fizikal, perubahan demi perubahan positif dan negatif banyak mengubah hidup eksekutif muda sehingga perubahan itu menjerat diri dan kehidupan mereka sebagai individu, pekerja dan sebagai anak dalam keluarga iaitu hutang.
Bagaimana eksekutif muda ini boleh terdedah dengan hutang dan akhirnya hidup dikelilingi hutang? Marilah kita bersama-sama melihat situasi ini dengan lebih khusus dan telus (berdasarkan pendapatan dan perbelanjaan):
Gaji: RM2,000 sebulan
Perbelanjaan:
- Sewa rumah/bilik RM200 (berkongsi rumah dengan rakan)
- Ansuran kereta RM300 (bergantung jenis kereta, kalau mahal maka tinggi ansuran bulanannya)
- Duit minyak dan tol RM450 (anggaran perjalanan pergi dan balik kerja, tidak termasuk perjalanan lain)
- Makan dan minum RM500
- Sosial dan riadah RM300 (bersama rakan dan hal peribadi)
- Bayaran bil RM200 (api, air, telefon, bil pelbagai)
- Bayar kredit barang RM300 (hutang set hi-fi, TV, peti sejuk, dapur masak dan pelbagai barang elektrik)
- Barang peribadi RM200 (tambah kad prabayar, barang kesihatan dan kecantikan, pakaian, kasut, aksesori diri bagi wanita, aksesori kereta dan tukar telefon bimbit)
- Hal kecemasan RM100 (sakit, beri pinjam kawan, kereta rosak)
- Simpanan RM100 (kerana memikirkan hendak kahwin, insuran kereta dan tunai haji)Ini tidak termasuk dengan perintah bayar daripada pinjaman pelajaran mereka di universiti yang sering eksekutif muda ini ‘sengaja buat lupa’ tetapi tidak pernah lupa untuk bayar perbelanjaan berkaitan urusan peribadi mereka. Katakan eksekutif yang ‘memaksa diri’ bayar pinjaman secara minimum RM100, jadi berapa gaji bulanan mereka yang tinggal? Pendapatan RM2,000 sebulan dan perbelanjaan seperti di atas RM2,750. Bermakna eksekutif muda itu berhutang RM750 sebulan. Bayangkan bagaimana jika mereka bergaji RM1,000 hingga RM1,500 sebulan? Sudah tentu hutangnya lebih banyak!
Daripada contoh di atas, kita lihat tiada langsung baki gaji bulanan eksekutif itu, malah menunjukkan ketidakcukupan gaji setiap bulan iaitu RM750. Ini andaian bagi gaya hidup eksekutif yang paling minimum dengan kos hidup semasa. Cuba bayangkan jika eksekutif itu mengamalkan gaya hidup mewah yang langsung tidak sepadan dengan gaji bulanan yang diterima. Berapa agaknya kekurangan gaji yang perlu mereka hadapi setiap bulan. Itu tidak termasuk jika kita mempersoalkan duit yang perlu diberi kepada ibu bapa yang sentiasa berdoa agar anak mereka mampu memberi wang untuk membantu meringankan perbelanjaan keluarga.
Lebih menyedihkan, anak yang diharapkan membantu keluarga selepas bekerja, meminta wang daripada ibu bapa dengan alasan kos hidup tinggi dan baki gaji bulanan tidak cukup. Ada juga memikirkan alternatif mendapatkan wang tanpa perlu meminjam duit ibu bapa atau rakan kerana malu akan dicap ‘muka subsidi’ akan menjadikan kad kredit sebagai ‘abang long’ mereka. Dengan pelbagai promosi yang menonjolkan gaya dan aura kad kredit sebagai satu gaya hidup bagi eksekutif muda masa kini, maka terpesonalah eksekutif yang sering putus wang untuk menggunakan kad kredit sebagai sumber kewangan alternatif mereka. Tanpa mereka sedari atau sengaja tidak sedar diri, kad kredit itulah yang menjadikan mereka terus berhutang dan akhirnya hutang melilit pinggang.
Tetapi jika dipandang pada sudut lain, kebanyakan anak muda yang diisytiharkan muflis boleh dikatakan kesemuanya berada dibawah lingkungan umur bawah 40 an dan tinggal di bandar -bandar besar. Dan antara sebab mengapa sesetengah anak muda terlibat dengan pinjaman bank melalui pinjaman peribadi dan kepenggunaan kad kredit adalah bertujuan untuk menampung perbelanjaan harian mereka gara – gara kos sara hidup yang terlalu tinggi. Bukan semuanya mengamalkan gaya hidup mewah. Sebilangan anak muda terpaksa membuat pinjaman peribadi di bank untuk menamatkan zaman bujang mereka, dimana kita sedia maklum bahawa faedah (bunga) adalah terlalu tinggi didalam sistem sesetengah perbankan. Anak muda terpaksa berhutang untuk kahwin sebanyak RM 15,000 ke RM 20,000 . Ditambah dengan kos perkahwinan saban tahun semakin meningkat dan dengan hutang termasuk faedah (bunga) sekali. Ini bermakna mereka akan mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan masalah hutang.
Dan dalam masa yang sama juga, mereka terpaksa membuat pinjaman untuk membeli kereta dan rumah bagi memenuhi keperluan hidup berkeluarga. Ditambah pula pasangan yang bekerja. Mereka terpaksa menghantar anak mereka kepada pengasuh atau ke Pusat Asuhan Kanak – Kanak. Ini sudah tentu melibatkan penambahan kos. Ini belum lagi menyentuh kepada pinjaman pengajian di IPTA mahupun IPTS pada masa terdahulu daripada PTPTN. Tempoh bayaran semula pinjaman kepada PTPTN yang panjang ditambah dengan faedah yang tinggi. Maka disinilah datangnya ‘malaikat penyelamat’ iaitu kad kredit!
Laporan Bank Negara mendedahkan hampir separuh daripada pemegang kad kredit yang diistytiharkan bankrap adalah mereka yang berusia dibawah 30 tahun. Mereka muda dan mewah, tetapi lemah pengurusan kewangan. Kad kredit hanya mengundang malapetaka jika anda tidak pandai menguruskannya dengan professional. Lebih buruk lagi apabila pada usia 30 tahun mereka terpaksa menanggung hutang dan perlu mendapatkan bantuan professional untuk mengeluarkan mereka daripada muflis. 15 peratus daripada hampir 40,000 individu yang menyertai program pengurusan kredit Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) adalah mereka yang berusia bawah 30 tahun.
Mari kita kaji pula senario seorang eksekutif berjaya yang juga merupakan seorang pemegang kad kredit ‘berjaya’.
Di bawah akta Bankrap 1967, seseorang itu boleh diisytiharkan bankrap sekiranya mereka berhutang serendah RM30,000 setiap pemiutang. Raju adalah seorang arkitek yang berjaya. Masih lagi bujang dan tidak mempunyai sebarang tanggungan. Pada usia 30 tahun dia telah pun memiliki satu kereta sport, satu kereta mewah dan dua kondominium hasil dari titik peluhnya. Dia mempunyai mentaliti sanggup berusaha menghadapi rintangan dan bekerja keras untuk mendapatkan apa yang diingini beliau.Dia juga percaya kepada falsafah wang boleh membeli apa saja. Raju memang gemar dengan perhatian yang diberikan orang ramai apabila melangkah bergaya dengan pakaian lelaki lengkap ditempah khas. Gaya hidup mewah kesukaan terhadap barangan berharga dan berjenama sebegini turut menjadi ikutan ramai golongan professional.
Dia banyak bergantung kepada kad kredit dan hampir kesemua perbelanjaannya dibiayai kad kredit. Raju amat taksub dengan bilangan digit pendapatannya, tidak sedikit pun bimbang dengan tsunami yang bakal mendatang.
Kemudahan mendapat pinjaman wang satu penghargaan dari segi kewangan, telah disalahgunakan oleh Raju. Apa yang dia tahu adalah berbelanja dan mendapatkan apa yang dingini. Tanpa disedari dia terjerat di dalam pasir jerlus hutang kombinasi 3-C (condo,car,credit card). Jumlah pinjaman perumahan, pinjaman kenderaan dan kad kredit ahkirnya mencecah RM380,000.
Pada mulanya dia tidak percaya bebanan hutang yang ada dihadapan matanya. Dia tidak faham kenapa seseorang yang mempunyai pendapatan sihat boleh terjebak dengan bebanan hutang yang banyak. Dia cuba sedaya upaya untuk tidak mengendahkan hutangnya tetapi semakin dielak semakin ngeri igauan yang ditanggungnya. Akhirnya Raju mengaku tewas lalu mendapatkan perkhidmatan dari AKPK.
AKPK menasihatkan Raju untuk menjual salah satu hartanah kepunyaannya demi meringankan beban hutang bulanan. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal dan dia bersetuju serta strategi di atur untuk menyelamatkannya dari terus dibebani hutang di masa depan. Dari segi liabiliti AKPK telah berjaya menyelamatkan sejumlah 45% daripada bayaran bulanan hutangnya. Berbekalkan pendapatan bulanan yang mantap dengan keinsafan baru, Raju kini melalui kehidupan dengan sejahtera meskipun masih belum lepas sepenuhnya dari mulut harimau.
Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Antara cara-cara yang boleh dipraktikkan golongan muda ialah:
Cari ilmu Kewangan – Hadiri kelas, seminar dan bengkel kewangan, baca sebanyak mungkin buku tentang kewangan, faham dan cuba ikut apa yang disampaikan.
Dapatkan khidmat perancang kewangan yang bertauliah, seorang perancang kewangan bukan penjual produk, cari mereka yang membantu anda merancang kewangan anda dengan mengenakan yuran. Ini bagi mengelakkan seorang perancang kewangan menjual sesuatu produk yang tidak diperlukan oleh anda oleh kerana mereka mempunyai kepentingan didalam produk tersebut.
Antara ilmu asas yang perlu ada pada diri anda adalah mengenai aliran tunai dan budget atau belanjawan. Seperti juga kesihatan diri, aliran tunai akan menentukan tahap kesihatan kewangan anda, jika anda mempunyai aliran tunai negatif maka kuranglah kebolehupayaan anda untuk mempunyai wang yang cukup manakala budget pula seperti diet (makan makanan yang berkhasiat untuk badan anda), budget yang baik akan memastikan bahawa segala belanjawan yang dibuat mempunyai impak kewangan yang positif ke atas diri anda.
No comments:
Post a Comment